Thursday 26 April 2012

Manusia yang semakin tidak bertamadun :((

KES pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi hasil hubungan luar nikah pasangan muda yang terlanjur tidak kira kerana suka sama suka, terlalu percayakan lelaki, dirogol atau tekanan keluarga, kian membimbangkan.

Melihat bayi dibuang seperti sampah, ditinggalkan di merata tempat, menggambarkan sifat manusia yang semakin kejam hingga sanggup membunuh sedangkan al-Quran menegaskan tiada siapa yang boleh mencabut nyawa sama ada dirinya atau orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Dan apabila bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup di tanya. Apakah dosanya sehingga dia dibunuh?” (Surah at-Takwir, ayat 8-9)

Jika diajukan soalan ini, pasti pihak tidak berperikemanusiaan itu tidak boleh menjawabnya.

Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak menggunakan kewarasan dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah.

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan sah kerana secara fitrahnya manusia berhajat serta mengharapkan kurniaan itu. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran.” (Hadis riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Anak sepatutnya dibelai dengan kasih sayang. Perlakuan membiarkan atau mengabaikan anak menjadikan manusia lebih rendah martabatnya daripada binatang yang tahu sayangkan anak.

Melihat realiti pembuangan bayi yang menggerunkan, langkah kerajaan memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat adalah langkah wajar.

Kes pembuangan bayi dicadangkan diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hukuman gantung sampai mati juga bertepatan dengan konsep qisas diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah, bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam tertakluk di bawahnya lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda.

Qisas bermaksud memotong dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan syarak melalui nas al-Quran dan hadis. Kesalahan diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas, seseorang penjenayah mesti dikenakan hukuman sama seperti dilakukan terhadap mangsanya. Jika membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami tetapkan atas mereka dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak
membalasnya maka jadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah, ayat 45)

Pembunuhan dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu pembunuhan sengaja, pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja. Pembunuhan sengaja ialah membunuh dengan niat yang dikenakan hukuman qisas atau diat.

Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Dalam kes pembuangan bayi, seseorang yang membuang bayi hingga menyebabkan kematian atau tidak boleh dianggap sebagai membunuh dengan sengaja.

Pembunuhan separuh sengaja ialah seperti memukul dengan tongkat atau melempar dengan batu kelikir, tanpa disangka-sangka terus mati orang itu (tanpa niat membunuhnya).

Pembunuhan tidak sengaja pula seperti seorang tertembak rakan disangkanya binatang buruan. Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja adalah diat saja.

Bagi hukuman membabitkan penjara pula, termasuk dalam kategori hukuman yang dikenakan atas kesalahan takzir, hukuman ditentukan oleh pemerintah berdasarkan kemunasabahan dengan mengambil kira suasana serta keadaan pesalah.

Langkah menguatkuasakan hukuman berat wajar untuk membawa pihak bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu, tiada alasan dan maaf bagi mereka yang masih sanggup melakukan kesalahan membuang bayi kerana perbuatan mereka tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang. Kesedaran kepada masyarakat saja tidak mencukupi.

Sebaliknya, masyarakat harus disedarkan perlakuan jenayah membuang bayi ini dengan mengenakan hukuman berat seperti gantung sampai mati ataupun hukuman penjara. Ini perlu bagi membendung gejala ini yang semakin berleluasa.

*Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
sumber : berita harian
(di petik dr sebuah blog)

Sunday 22 April 2012

Zaman Khulafa Al-Rasyidin



Khilafah adalah Lembaga Pemerintahan dalam Islam.Ia merupakan istilah yang muncul dalam sejarah pemerintahan Islam sebagai institusi politik Islam yang bersinonim dengan kata Imamah yang bererti Pemerintahan.Khilafah adalah tanggungjawab umum yang sesuai dengan tujuan syara’ (hukum Islam) yang bertujuan untuk mewujudkan cara penyelesaian pedoman didunia dan diakhirat bagi umat.Khilafah yang sinonim istilah imamah, yakni kepemimpinan menyeluruh yang berkaitan dengan urusan agama dan urusan dunia sebagai pengganti Rasulullah. Seseorang yang melaksanakan fungsi khilafah(sistem kekhalifahan)disebut khalifah.
  1. Saidina Abu Bakar As-Siddiq(634-636M)
    Saidina Abu Bakar dipilih menjadi Khalifah yang pertama selepas kewafatan Rasullullah melalui perbincangan dan perdebebatan antara kaum Ansar dan Muhajirin dalam pertemuan mesyuarat(syura).Kemudian Saidina Abu Bakar telah mencalonkan Saidina Umar Al-Khattab sebagai penganti beliau dalam satu mesyuarat dan rujukan daripada beberapa sahabat utama dan menyampaikannya kepada umat islam yang berkumpul di Masjid Nabawi.

  2. Saidina Umar Al-Khattab (636-646M)
    Setelah dicalonkan oleh Saidina Abu Bakar dan mendapat persetujuan daripada ahli mesyuarat dalam bentuk bertulis yang ditulis oleh Utsman bin Affan,Saidina Umar menjadi Khalifah yang kedua menggantikan Saidina Abu Bakar yang telah wafat.Saidina Umar telah membentuk Dewan Syura atau formasi yang terdiri daripada 6 orang sahabat utama bagi memilih pengganti beliau.

  3. Saidina Utsman Bin Affan(646-658M)
    Setelah dicalonkan oleh Saidina Umar,Saidina Utsman diangkat menjadi Khalifah yang 3 bagi mengantikan Saidina Umar yang telah wafat.Perlantikan beliau tidak dipersetujui dan ditentang oleh penyokong Ali Bin Abi Talib.Beliau telah dibunuh oleh pengikut-pengikut Ali oleh pasukan dari Mesir.

  4. Saidina Ali bin Abi Talib(658-663M)
    Setelah Saidina Utsman dibunuh keadaan di Madinah menjadi kacau-bilau dan pada saat itulah para pemberontak telah mengusulkan kepada penduduk Madinah supaya mengangkat Saidina Ali menjadi khalifah yang ke-4.
Keempat-empat khalifah ini dikenali sebagai penerus bagi memikul perjuangan Rasullulah dan digelar sebagai al-Khulafa' al-Rasyidin(Khalifah yang lurus).Pada masa zaman ini Islam telah berkembang di Timur Tengah yang merangkumi Mesir,Palestin,Syria,Iraq dan Iran.Setelah kewafatan Saidina Ali telah mendorong umat Islam mengakui Mu'awiyah sebagai khalifah bagi seluruh kekuasaan wilayah Islam.

Wednesday 18 April 2012

Masjid Cordoba (Seni Bina Tamadun Islam)

Mezquita atau Masjid Córdoba ialah sebuah katredal di Spanyol yang dahulu merupakan sebuah masjid. Pada masa kekuasaan Islam di Sepanyol Córdoba adalah ibukota Spanyol di bawah pemerintahan dinasti Umayyah. Setelah Reconquista atau Penaklukkan Kembali Sepanyol oleh kaum Kristian, gedung ini diubah fungsi menjadi sebuah gereja dengan katedral gotik. Sekarang keseluruhannya diguna sebagai katedral diosese Córdoba di Spanyol.
Masjid Cordoba, pada 15 Desember 1994 ditetapkan oleh UNESCO sebagai salah satu tempat peninggalan yang sangat bersejarah dan penting di dunia. Masjid itu pertamanya dibangunkan oleh Khalifah Muslim Abdurahman I pada tahun 787. Pembangunannya terus dilakukan oleh khalifah-khalifah seterusnya.
Masjid Cordoba memiliki ruangan dalam untuk solat, berbentuk segi panjang yang dikelilingi oleh kawasan  terbuka, seperti model masjid-masjid peninggalan Umayyah dan Abbasiyah yang dibangun di Suriah dan Iraq.
Ketika pemerintahan Umayyah, Cordoba menjadi ibu kota Sepanyol di bawah pemerintahan khalifah Islam dan dikenali ramai di Eropah dalam hal kemajuan peradabannya. Cordoba pada saat itu juga dikenal sebagai pusat ilmu pengetahuan, di mana jumlah kunjungan ke perpustakaannya mencapai 400.000 kali. Sementara perpustakaan-perpustakaan besar di Eropha, jumlah pengunjungnya jarang mencapai angka seribu.
Warga Muslim di Sepanyol saat ini diperkirakan mencapai 750.000 orang  daripada 40 juta jumlah termasuk  penduduk Sepanyol. Sepanyol mengakui Islam sebagai agama rasmi di negara itu, berdasarkan undang-undang kebebasan beragama yang disahkan pada Julai 1967.






Friday 6 April 2012

Tokoh-Tokoh Tamadun Islam

1. IBNU SINA BAPA SEJARAH SAINS

Sumbangan dan Pencapaian Ibnu Sina

Hasil Tulisan dan Ensiklopedia

Sebagai seorang ahli perubatan dan falsafah serta dalam masa yang sama beliau banyak terlibat dalam bidang-bidang lain, beliau banyak menghasilkan karya-karya dan tulisan sebagai panduan dalam sesuatu bidang khususnya dalam bidang perubatan. Beliau telah menghasilkan 250 karya yang masih kekal sehingga hari ini termasuk 116 karyanya khas dalam bidang perubatan.

Antara karya beliau yang terkenal adalah “Al-Qanun Fi Al-Tibb” (Peraturan Perubatan) yang terdiri daripada 14 jilid diterbitkan di Rom pada tahun 1593 dan telah dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Karyanya ini telah dialih bahasa ke bahasa Latin oleh Gerard Cremona sebaik sahaja beliau berpindah ke Toledo, Sepanyol dalam kurun ke-12 Masihi. Kehebatan karya beliau menjadikan karyanya sebagai sumber rujukan utama di universiti-universiti terkemuka di Eropah terutamanya di Itali dan Perancis sehingga kurun ke-17. Misalnya di Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dan Louvin telah menggunakannya sebagai bahan rujukan pada abad ke 17 M. Sementara itu Prof. Phillip K. Hitpi telah menganggap buku tersebut sebagai "Ensiklopedia Kedoktoran". Karyanya ini, telah cetak semula sebanyak 16 kali, 15 kali dalam bahasa Latin dan satu kali dalam bahasa Yahudi. Menjelang abad ke-16, karyanya ini telah dicetak sebanyak 21 kali. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, karya tersebut telah dialih bahasa ke 15 buah bahasa antaranya bahasa Inggeris yang dikenali sebagai Precepts of Medicine.

Selain daripada “Al-Qanun Fi Al-Tibb”, Ibnu Sina juga telah menulis satu karya yang bertajuk Remedies for The Heart yang mencangkirkan sajak-sajak mengenai perubatan. Dalam buku beliau ini, terdapat 760 jenis penyakit beserta dengan cara untuk menawarkan penyakit-penyakit tersebut.

Teori-teori dan Pendapat

Penulis-penulis barat menganggap Ibnu Sina sebagai “Bapa Doktor” kerana beliau telah menggabungkan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen juga pengalaman daripada sarjana perubatan di India dan Parsi bersama pengalaman beliau sendiri menghasilkan penemuan-penemuan baru yang lebih baik dari sebelumnya. Beliau berpendapat bahawa perubatan adalah satu cabang ilmu mengenai kesihatan dan sakit pada tubuh manusia.

Beliau telah memperkenalkan satu cabang ilmu perubatan iaitu ilmu perubatan psikosomatis atau “psychosomatic medicine” yang menggabung ilmu psikologi dan perubatan dalam membantu pesakit yang mengalami ganguan emosi dalam hidup. Beliau telah memperluaskan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenal pasti dalam masa beberapa detik sahaja ketidak - seimbangan humor yang berkenaan . Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih dipraktikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afghanistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor dari Amerika (1981) menerangkan bahawa para hakim di Afghanistan, China, India dan Parsi sangat berkebolehan dalam denyutan jantung di tempat yang dirasai tetapi mutunya yang pelbagai. Ini merangkumi :

a. Kuat atau denyutan yang lemah.
b. Masa antara denyutan.
c. Kandungannya lembap di paras kulit dekat denyutan itu dan lain-lain lagi.

Dari ukuran-ukuran denyutan jantung seseorang, hakim mungkin mengetahui dengan tepat penyakit yang dihidapi oleh pesakit.
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.

Ibnu Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila pesakit mempunyai sakit jiwa disebabkan oleh pemisahan daripada kekasihnya , beliau boleh mendapati nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut:
Caranya adalah untuk menyebut banyak nama dan mengulanginya dan semasa itu jarinya diletakkan atas denyutan (pulse) apabila denyutan itu terjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti , seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang sedemikan , nama jalan , rumah dan keluarga disebutkan. Selepas itu , kata Ibnu Sina "Jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya maka temukanlah si pesakit dengan kekasihnya , menurut peraturan syariah maka buatlah".(Terjemahan).
2.2.3 Penemuan-Penemuan

Ibnu Sina adalah doktor perubatan yang pertama mencatatkan bahawa penyakit paru-paru (plumonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh menjangkit (contagious) dan dia menceritakan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul darinya. Beliau sangat berminat dalam bidang mengenai kesan akal (mind) atas jasad dan telah banyak menulis berkenaan gangguan psikologi.
Ibnu Sina ialah tabib pertama yang secara tepat menerangkan meningitis, beliau juga telah menemui bagaimana jangkitan tibi berlaku, juga menerangkan penyakit yang menyebabkan penyakit kuning (jaundice).

2. ABU AL-QASIM KHALAF PAKAR BEDAH MUSLIM

Sumbangan dan Pencapaian

Di kalangan ahli perubatan Islam, beliau dikenali sebagai perintis ilmu pengenalan penyakit (diagnosis) dan cara penyembuhan penyakit telinga, Abu Qasim telah merintis pembedahan telinga untuk mengembalikan fungsi pendengaran dengan cara memerhatikan secara saksama anatomi saraf-saraf halus, pembuluh-pembuluh darah dan otot-otot.

Selain itu, beliau turut mempelopori pengembangan ilmu bagi penyakit kulit. Abu Qasim pernah mengarang beberapa buah buku tentang bidang kedoktoran dan peralatan-peralatannya dalam sebuah ensiklopedia perubatan bertajuk At-Tasrif liman ‘Azija ‘an at-Ta’lif yang menerangkan secara jelas diagram mengenai 200 peralatan pembedahan. Ilustrasi diagram tersebut memberi gambaran banyak peralatan yang boleh digunakan untuk keperluan perubatan pergigian.

Pada bahagian akhir buku karangannya yang mengandungi 30 bab itu, beliau menyatakan tentang luka dan cara pembedahannya, pengubatan tulang yang remuk, penyakit gigi sekali gus dengan kaedah perubatannya tentang pembakaran luka dan pembersihan kotoran dalam rahim selepas bersalin. Buku itu kemudian meletakkan dasar-dasar pengembangan kedoktoran pergigian di Eropah. Malah beberapa bahagian penting dalam buku tersebut telah diadaptasi oleh seorang ahli bedah Perancis yang terkenal di Eropah, Guy de Chauliac. Al-Tasrif diterjemahkan buat kali pertama dalam bahasa Latin oleh Gherard of Cremona dan diikuti oleh beberapa terbitan lain di Eropah.

Pada abad ke-12, secara umumnya kaedah perubatan kesihatan yang terbaik adalah di negara-negara Islam. Baghdad, misalnya, pada tahun 1160 mempunyai lebih daripada 60 buah klinik. Malah para doktor dan ahli farmasi di Baghdad perlu mendapat latihan secukupnya sebelum terjun ke dunia perubatan. Dr. Donald Campbell dalam bukunya, Arabian Medicine and Its Influence on the Middle Ages, mengakui bahawa buah fikiran Abu Qasim banyak dipengaruhi oleh sistem perubatan Barat. Di Eropah, beliau pernah menerima pujian sebagai ahli perubatan yang mempunyai reputasi tinggi seperti mana Galen dan Hippocrates. Sehingga abad ke-15, silibus pelajaran media di Universiti Tubingen masih menggunakan salah satu karya Abu Qasim iaitu Kitab al-Masnur.

Sebahagian daripada penulisannya mengenai perubatan diterbitkan ke dalam bahasa Latin yang bertajuk Liber Theorical nec non Practiceas-Sharavii(1519). Bukunya yang lengkap mengenai ulasan pembedahan, Abulcasis de Chirurgia Arabice et Latine Cura Johannis Channing, telah diterbitkan di Venice pada 1479, Basla (1541) dan Oxford (1778). Karyanya yang lain ditemui dalam buku History of Medicine jilid I oleh M.Neuberger pada 1910 dan Carl Brockelmann menjumpai karyanya dalam buku Geschichte der Arabischen Literatur jilid I pada 1898.

3. AR-RAZI PAKAR FARMASITIKAL

Sumbangan

Al-Razi telah memberi banyak sumbangan dalam pelbagai bidang. Beliau menjadi perintis dalam bidang pediatrik (berkaitan kanak-kanak), obstetrik (ilmu perbidanan) dan ophthalmologi (berkaitan mata). Walau bagaimanapun, jasa beliau dalam bidang perubatan memang tidak dapat dinafikan lagi. Beliau digelar "Bapa Pediatrik" oleh ahli sejarah kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengubati penyakit kanak-kanak. Beliau juga orang yang pertama mengenalpasti penyakit 'hay fever' dan penyebabnya.

Al-Razi juga adalah orang yang pertama memperkenalkan alkohol (Bahasa Arab: Al-Kuhl) untuk tujuan perubatan. Beliau juga adalah pakar bedah yang terkemuka dan orang yang pertama menggunakan opium (dadah) untuk tujuan bius. Beliau juga menekankan kaitan antara makanan dan kesihatan. Beliau mengaitkan ini sebagai hasil pengaruh faktor psikologi terhadap kesihatan.
Al-Razi adalah orang yang pertama membincangkan mengenai penyakit katarak iaitu sejenis penyakit mata. Beliau pernah menjalankan pembedahan memulihkan selaput mata dengan cara menarik keluar lensa dan juga saintis pertama yang membincangkan mengenai pembesaran dan pengecilan pupil mata. Beliau menerangkan bahawa reaksi tersebut berlaku kerana tindak balas terhadap keamatan cahaya.

Al-Razi juga pernah membuat kajian mengenai penyakit batu karang di mana beliau mendapati litoriti merupakan proses untuk menghancurkan batu karang dalam pundi-pundi kencing kepada bahan-bahan kecil supaya senang dikeluarkan melalui saluran kencing. Selain daripada itu, beliau juga telah memberikan sumbangan dalam usaha mengubati penyakit cacar dan campak. Al-Razi merupakan orang yang pertama membezakan kedua-dua penyakit ini seterusnya membuat kajian sistematis mengenai penyakit tersebut. Ini dicatatkan dalam buku beliau yang bertajuk Al-Judari wa al Habsah.

Al-Razi juga telah memperkenalkan perkara-perkara berikut dalam ilmu farmasi:
a. Penggunaan ubat untuk melawaskan pembuangan air besar secara lembut
b. Penggunaan air sejuk untuk menyembuhkan demam yang melarat
c. Penciptaan benang seton dan pembakaran tisu untuk kes-kes luka
Al-Razi juga menekankan hubungan di antara doktor dan pesakit. Beliau menyarankan agar wujudnya ikatan kepercayaan antara kedua-dua pihak ini: "Komen yang positif daripada doktor akan menguatkan semangat pesakit, membuatkan mereka rasa lebih selesa serta membantu proses pemulihan". Beliau juga mengingatkan kepada para pesakit: "Bertukar-tukar doktor pula akan hanya membazirkan kesihatan, masa dan wang pesakit itu sendiri".

Hasil Karya

Al-Razi telah menghasilkan 237 buah buku di mana 140 buah daripadanya adalah berkaitan bidang perubatan. Sepuluh buah daripada buku-buku perubatan tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Antara kitab yang telah beliau hasilkan ialah Kitab al-Mansuri, Kitab al-Hawi Fit-Tibb, Kitab al-Muluki dan Kitab al-Judari wa al-Hasabah.

Kitab al-Hawi Fit-Tibb merupakan karya beliau yang termasyhur. Kitab ini juga dikenali sebagai 'Comprehensive Book' yaang merangkumi ilmu perubatan patologi dan terapi dari sumber-sumber Yunani, India dan Arab. Sepanjang hidupnya, beliau telah membuat pelbagai kajian mengenai ilmu perubatan. Beliau akhirnya telah menghimpunkan kesemua pengalaman perubatan tersebut ke dalam Ensiklopedia Perubatan yang berjumlah 20 jilid. Kitab al-Hawi merupakan pecahan terbesar di mana ia meliputi 9 jilid. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan nama 'Liber Continens' oleh doktor perubatan Yahudi berbangsa Sicily, Faraj Ibn Sallim (Farragut) pada 1279M dan diulang cetak beberapa kali pada 1509M di Venice dan juga 1528M, 1578M dan 1745M di Paris.

Kitab al-Mansuri pula merupakan kitab perubatan pertama yang ditulis oleh beliau. Ia dinamakan sempena nama pemerintah Rayy pada masa itu iaitu Mansur Ibn Ishaq. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1480M di Milan dan dikenali dengan nama 'Liber AlMansoris'. Ia mengandungi 10 jilid dan sebahagian daripadanya telah diterbitkan ke dalam bahasa Jerman dan Perancis. Terjemahan jilid ke-9 yang telah ditulis oleh Gerard Cremona dengan nama 'Nonus Al-Mansuri' adalah teks terkenal di Eropah sehingga kurun ke-16.
Kitab al-Judari wa al-Hasabah pula adalah kajian menyeluruh yang pertama berkenaan penyakit cacar dan campak. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Latin buat kali pertama pada 1565M dan kemudian ke dalam bahasa-bahasa lain dan diulang cetak sehingga 40 edisi di antara 1498-1866M. Ia telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh William A. Greenhill di London pada 1848M. Tesis berkenaan kedua-dua penyakit ini diiktiraf sebagai kajian sistematis yang sulung dalam sejarah perubatan. Pada masa yang sama juga, beliau telah menyarankan beberapa petua untuk merawat kedua-dua penyakit tersebut.

4. Al-Farabi

Nama sebenar al-Farabi ialah Abu Nasr Muhammad Ibn Muhammad Ibn  Tarkhan (Haliza, 2006). Beliau dilahirkan pada 260 Hijrah (874 Masihi) di Khurasan, Turki. Beliau banyak menyumbang dari segi pemikiran serta penghasilan buku dalam bidang falsafah, mantik, sosiologi, sains dan muzik.
Di dalam seni muzik, al-Farabi merupakan seorang pemuzik yang handal dan lagu hasil karya beliau meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan bermain alat muzik, beliau juga berjaya mencipta sejenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus (Umar, 1983). Mahayudin (2004) pula menyatakan bahawa al-Farabi adalah pencipta dan pengembang seni muzik daripada alat rabah dan qanun.
Al-Farabi turut menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam yang diberi judul al-Musiqa (Haliza, 2006, Mahayudin, 2004, Abd Alim dan Syed Idrus, 1995). Menurut Mahayudin (2004), beliau juga terkenal menerusi karyanya yang diterjemahkan bertajuk Grand Book on Music, Styles in Music dan On The Classification of Rhythm. Buku-buku ini sebenarnya diterjemahkan daripada karya bahasa Arab dan menjadi rujukan penting di Eropah. Selain itu, beliau juga memberi sumbangan yang besar dalam penciptaan not-not muzik.
  
5. Al-Kindi

Nama sebenar al-Kindi ialah Abu Yusuf Ya’qub Ibn Ishaq al-Kindi. Beliau dilahirkan di Kufah sekitar tahun 800 M (Dipetik http://www.muslimheritage.htm ). Beliau merupakan seorang yang pakar dalam bidang muzik dan banyak menghasilkan bukubuku mengenai teori-teori muzik. Banyak karyanya telah diterjemahkan kepada bahasabahasa Eropah antaranya, Essentials of Knowledge in Music, On The Melodies dan The Necessary Book in the Composition of Melodies (Mahayudin, 2004).

Al-Kindi juga telah berjaya menemui pelbagai not muzik yang mana apabila digabungkan akan menghasilkan harmoni. Mengikut beliau, nada-nada suara yang terlalu rendah dan terlalu tinggi adalah tidak seimbang dan tidak menyenangkan (Dipetik di http://www.muslimphilosophy.com). Al-Kindi juga berpendapat bahawa muzik termasuk dalam disiplin ilmu sains, di samping turut berhubung rapat dengan matematik dan memberi kesan terhadap kesihatan (Mahmood Zuhdi, 2003).

Wednesday 28 March 2012

Isu-Isu Semasa Berkaitan Dengan Tamadun Islam

Seperti yang kita sama-sama maklumi, Turki adalah sebuah Pusat Kuasa Islam di zaman Kerajaan Islam Othmaniah dulu, yang menguasai seluruh Dunia Arab dan Farsi . Dan melalui Turkilah Islam tersebar ke seluruh Eropah . Dengan kemasukan Islam ke Eropah, agama ini telah berjaya mengajar seluruh rakyat Eropah untuk membina tamadun baru berasaskan akhlak mulia Islam yang dipandu Kitab Al-Quran dan Sunnah Rasul (SAW). Semasa Islam mula disebarkan di Eropah para Padri Kristian masih bertelanjang kerana mabuk bersama-sama perempuan dalam gereja-gereja mereka.
                                                     Empayar Turki Uthmaniyah


Demikianlah pahatan sejarah dunia terhadap jasa para pejuang Islam serta para pendakwa agama suci Islam di bumi Eropah. Namun beberapa lama kemudiannya, atas kealpaan para pemimpin Islam Kerajaan Othmaniah yang mengejar dunia tanpa asas Iman dan Taqwa, Kerajaan Othmaniah mula runtuh pada Abad ke 17 dan hancur luluh pada penghujung Abad Ke 18. Mustafa Kamal Ataturk yang naik memerintah kemudiannya dengan menggunakan pengaruh Komunis dan Yahudi , telah mengisytiharkan Turki sebagai Negara Sekular dan mengharamkan rakyat Turki menggunakan nama dan pakaian yang boleh menjadi pengenalan kepada seseorang itu sebagai Orang Islam.

Masa terus berlalu, kini bila giliran Recep Tayyip Erdogan naik memerintah, tiba-tiba hari ini kita dikejutkan, oleh suara tegas dan berani beliau, semacam telah kembali sudah Suara Islam yang telah lama hilang di bumi Turki itu. Oleh hal yang demikian, saya perturunkan sebuah berita berbentuk rencana dari Istanbul Turki yang ditulis oleh Wartawan Agensi Berita Reuters dan AP dan dipetik oleh Utusan On Line keluaran 1 Januari 2009 , untuk tatapan para pembaca semua - Pengarang. 

ISTANBUL 31 Jan. - Tindakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bertikam lidah dengan Presiden Israel di Forum Ekonomi Dunia di Davos semalam, mungkin menjejaskan kedudukan Turki sebagai perantara proses damai Asia Barat tetapi ia membantu mengukuhkan pengaruh serantaunya dalam jangka masa panjang.
Apabila Shimon Peres menuding jarinya ke arah Erdogan semasa mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, beliau mungkin tidak menyedari sikap Erdogan yang pantang dicabar sedemikian.
Erdogan semasa menjawab soalan Peres bagaimana beliau akan bertindak jika peluru roket ditembak ke Istanbul, yang pastinya bukan jawapan yang disediakan awal tetapi tepat kepada maksudnya.
"Presiden Peres awak lebih tua dari saya dan suara awak lebih nyaring, penyebab awak meninggikan suara adalah psikologi dari perasaan bersalah awak sendiri Saya tidak akan meninggikan suara sebegitu. Apabila bercakap soal membunuh, awak lebih tahu bagaimana untuk membunuh. Saya amat maklum bagaimana anda menembak dan membunuh kanak-kanak di atas pantai,'' ujarnya pada Peres.
Ribuan rakyat Turki menyambut kepulangannya di Istanbul sambil mengibarkan bendera Turki dan Palestin.Orang ramai memuji beliau kerana berani berdepan dengan layanan tidak adil di forum antarabangsa tersebut dan berani memberitahu Israel apa yang dirasai oleh ramai rakyat Turki mengenai serangan ke atas Gaza.
''Untuk kebanyakan bangsa Turki dan bukan hanya penyokongnya dalam Parti AK, Erdogan akan dilihat sebagai seseorang yang telah membawa kebanggaan kepada Turki.
''Di peringkat tempatan, ia sekurang-kurangnya akan mengukuhkan imej dan kredibiliti beliau, kata Cengiz Candar, seorang pakar isu Turki dan Asia Barat. Turki, sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem sekular, berada dalam kedudukan unik di rantau ini kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan negara-negara Arab.

''Bukankah ciri-ciri paling penting dimiliki Turki ialah keupayaannya untuk berunding dengan Israel, Syria dan Iran secara serentak?'' tambah beliau.
Peres berkata, beliau sudah bercakap dengan Erdogan menerusi telefon selepas debat di Davos itu, mungkin satu petanda Israel masih menghargai peranan Turki.
Erdogan sedang berusaha untuk membina jambatan dengan negara-negara Arab menunjukkan kesukaran yang dihadapi Turki.
Turki, sebagai anggota NATO yang juga mahu menyertai Kesatuan Eropah, telah meletakkan dirinya sebagai perantara dalam konflik Asia Barat.
Dalam dunia Arab, tindakan Erdogan telah disambut baik tatkala pemimpin-pemimpin mereka sendiri dikritik kerana gagal menghentikan serangan Israel yang telah mengorbankan lebih 1,300 orang Palestin.
''Dengan satu tindakan, mungkin tidak disengajakan, Erdogan kini menjadi hero dalam dunia Arab. Beliau telah menjadi suara bagi orang Arab semasa ketiadaan suara berwibawa dari pemimpin Arab sendiri,'' kata Candar.
Kerajaan-kerajaan Turki sebelum ini, secara umumnya menghindarkan diri daripada terlibat dengan dunia Arab dan memilih untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan Barat.
''Daripada sudut pandangan politik, tindakan Erdogan adalah salah, mungkin juga bodoh... Tetapi seseorang perlu bersuara terhadap Israel dan saya gembira Erdogan telah berbuat demikian,'' kata Mustafa Aydin, 49, seorang tokoh tempatan di Istanbul. - REUTERS
 
Erdogan - PM Turki


''Erdogan mungkin akan tercatat dalam sejarah diplomatik sebagai pemimpin Turki yang mengajar presiden Israel, tetapi persoalannya apakah Turki akan mendapat manfaat daripadanya?,'' kata penulis kolum, Murat Yetkin dalam akhbar Radikal.

HAMAS SANJUNG KEBERANIAN TURKI 

ISTANBUL 31 Jan. - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mendapat pujian daripada pergerakan Hamas semalam, kerana tindakannya mengecam Presiden Israel, Shimon Peres berhubung pembunuhan penduduk awam Palestin di Genting Gaza.
“Semua perlu bersuara apabila melihat kezaliman dilakukan. Tiada siapa patut memaparkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita sebagai kemalangan semata-mata.
"Membisu apabila berdepan dengan kezaliman adalah sama seperti melakukan kezaliman itu sendiri," kata beliau semasa merasmikan pembukaan sebuah stesen kereta api bawah tanah di sini semalam
Sementara itu, bendera Turki yang berwarna merah dan putih berkibaran di sisi bendera hijau Hamas pada rapat umum di seluruh Gaza semalam, serta di tengah-tengah runtuhan sebuah masjid yang dibom oleh Israel di kem pelarian Jabaliya di wilayah Palestin itu.
Kira-kira 5,000 penyokong Hamas kemudian, berhimpun di depan bangunan Parlimen Palestin yang rosak teruk, dengan sebilangannya mengibarkan bendera Turki dan membawa potret Erdogan.
"Kami menganggap tindakan Perdana Menteri Turki itu sebagai menandakan pendirian yang berani dan bertanggungjawab, yang mencerminkan sentimen dan pandangan umat Islam serta mengesahkan hak-hak rakyat Palestin," kata ahli Parlimen Hamas, Mushir al-Masri Mashir.
Beliau menganggap pendirian itu sebagai jauh lebih maju daripada apa yang diambil oleh kebanyakan negara Arab dan Islam. -- AP



FORUM EKONOMI DUNIA GEMPAR ERDOGAN TINGGALKAN SIDANG 

Davos Switzerland, 31 Januari 2009;- Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan meninggalkan 
Dalam detik paling dramatik yang jarang berlaku pada forum dunia itu, Erdogan berjalan keluar melintasi Peres dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon selepas dia ‘dipaksa’ memendekkan ucapannya mengenai isu keganasan Israel itu.
Erdogan sedih kerana hadirin yang terdiri daripada elit politik dan tokoh perniagaan memberi tepukan menyokong ucapan Peres mengenai kewajaran serangan ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 1,300 penduduk..
Sekembalinya dari Davos, Erdogan semalam diberi sambutan sebagai wira oleh ribuan rakyatnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul.
Reuters.
 
Wira baru dunia Islam


Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland hari ini, selepas bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung serangan tentera Zionis di Genting Gaza.

Tuesday 27 March 2012

Definisi Tamadun

Makna Tamadun daripada Aspek Bahasa

1.Bahasa Arab Maddana- pembukaan bandar atau kota serta perbuatan memperhalusi budipekerti
Madani- pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti
2.Bahasa Melayu-Sopan, terhormat dan berakhlak
3.Bahasa Inggeris-Civilized bermaksud memperbaiki tingkah laku yang kasar atau kurang sopan atau keluar daripada kehidupan barbarian
4.Bahasa Tamil Nakaram- nakar bermaksud kota atau bandar, ikram merujuk kepada pembentukan bandar
5.Bahasa Cina Wen Ming- perbandaran, ming bermaksud cerah, terang ,bercahaya

Pandangan Sarjana Islam tentang Tamadun

1.Ibn Khaldum :Kehidupan bandar adalah kehidupan bertamadun, lahir semangat assabiyah/kekitaan hingga membawa semangat kerjasama dan saling membantu

2.Syed Naquib al-Attas:Kehidupan insan bermasyarakat yang telah melampaui taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyaakatnya

3.Muhamad Rasyid Redh :Agama asas tamadun

4.Said Hawa:Segala aspek kemajuan yang tegak atas kebudayaan islam manakala tamadun jahiliyah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebandaan tanpa mengambil kira aspek kerohanian dan moral

5.Saiyid Qutb: Segala bentuk kemajuan yang dihasilkan sekumpulan masyarakat berteraskan syariat Allah dan nilai-nilai moral islam

6.Ismail al- Faruqi:Pencapaian kesempurnaan syarat-syarat sebagai sebuah organisasi sosial yang maju dan bersesuaian dengan sesebuag bandar

7.Malik Bennabi;Tamadun melahirkan hasil-hasil positif dalam sesebuah masyarakat


Pembinaan dan Kejatuhan Sesebuah Tamadun

Faktor-faktor Pembinaan

►Kesengsaraan hidup

►Kedudukan kawasan yang strategik

►Rangsangan keagamaan dan kerohanian

►Sumbangan tamadun-tamadun lain

►Penghayatan yang tinggi terhadap bidang keilmuan

►Unsur idea yang bernas

►Fenomena penghijrahan atau migrasi

►Peranan manusia dalam menempa kemajuan

►Semangat kesukuan atau asabiyah


Faktor-faktor Kemerosotan Sesebuah Tamadun

►Keruntuhan akhlak dalam masyarakat khususnya dalam kalangan pemimpin

►Perpecahan dalam kalangan anggota masyarakat

►Jurang perbezaan yang ketara antara golongan kaya dengan golongan miskin

►Ketidakstabilan politik

►Bencana alam atau malapetaka

►Menolak perubahan terutama dalam bidang sains dan teknologi