Thursday 26 April 2012

Manusia yang semakin tidak bertamadun :((

KES pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi hasil hubungan luar nikah pasangan muda yang terlanjur tidak kira kerana suka sama suka, terlalu percayakan lelaki, dirogol atau tekanan keluarga, kian membimbangkan.

Melihat bayi dibuang seperti sampah, ditinggalkan di merata tempat, menggambarkan sifat manusia yang semakin kejam hingga sanggup membunuh sedangkan al-Quran menegaskan tiada siapa yang boleh mencabut nyawa sama ada dirinya atau orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Dan apabila bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup di tanya. Apakah dosanya sehingga dia dibunuh?” (Surah at-Takwir, ayat 8-9)

Jika diajukan soalan ini, pasti pihak tidak berperikemanusiaan itu tidak boleh menjawabnya.

Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak menggunakan kewarasan dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah.

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan sah kerana secara fitrahnya manusia berhajat serta mengharapkan kurniaan itu. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran.” (Hadis riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Anak sepatutnya dibelai dengan kasih sayang. Perlakuan membiarkan atau mengabaikan anak menjadikan manusia lebih rendah martabatnya daripada binatang yang tahu sayangkan anak.

Melihat realiti pembuangan bayi yang menggerunkan, langkah kerajaan memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat adalah langkah wajar.

Kes pembuangan bayi dicadangkan diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hukuman gantung sampai mati juga bertepatan dengan konsep qisas diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah, bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam tertakluk di bawahnya lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda.

Qisas bermaksud memotong dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan syarak melalui nas al-Quran dan hadis. Kesalahan diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas, seseorang penjenayah mesti dikenakan hukuman sama seperti dilakukan terhadap mangsanya. Jika membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami tetapkan atas mereka dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak
membalasnya maka jadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah, ayat 45)

Pembunuhan dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu pembunuhan sengaja, pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja. Pembunuhan sengaja ialah membunuh dengan niat yang dikenakan hukuman qisas atau diat.

Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Dalam kes pembuangan bayi, seseorang yang membuang bayi hingga menyebabkan kematian atau tidak boleh dianggap sebagai membunuh dengan sengaja.

Pembunuhan separuh sengaja ialah seperti memukul dengan tongkat atau melempar dengan batu kelikir, tanpa disangka-sangka terus mati orang itu (tanpa niat membunuhnya).

Pembunuhan tidak sengaja pula seperti seorang tertembak rakan disangkanya binatang buruan. Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja adalah diat saja.

Bagi hukuman membabitkan penjara pula, termasuk dalam kategori hukuman yang dikenakan atas kesalahan takzir, hukuman ditentukan oleh pemerintah berdasarkan kemunasabahan dengan mengambil kira suasana serta keadaan pesalah.

Langkah menguatkuasakan hukuman berat wajar untuk membawa pihak bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu, tiada alasan dan maaf bagi mereka yang masih sanggup melakukan kesalahan membuang bayi kerana perbuatan mereka tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang. Kesedaran kepada masyarakat saja tidak mencukupi.

Sebaliknya, masyarakat harus disedarkan perlakuan jenayah membuang bayi ini dengan mengenakan hukuman berat seperti gantung sampai mati ataupun hukuman penjara. Ini perlu bagi membendung gejala ini yang semakin berleluasa.

*Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
sumber : berita harian
(di petik dr sebuah blog)

No comments:

Post a Comment