KES pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi hasil hubungan luar nikah
pasangan muda yang terlanjur tidak kira kerana suka sama suka, terlalu
percayakan lelaki, dirogol atau tekanan keluarga, kian membimbangkan.
Melihat bayi dibuang seperti sampah, ditinggalkan di merata tempat,
menggambarkan sifat manusia yang semakin kejam hingga sanggup membunuh
sedangkan al-Quran menegaskan tiada siapa yang boleh mencabut nyawa sama
ada dirinya atau orang lain.
Firman Allah bermaksud: “Dan
apabila bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup di tanya. Apakah dosanya
sehingga dia dibunuh?” (Surah at-Takwir, ayat 8-9)
Jika diajukan soalan ini, pasti pihak tidak berperikemanusiaan itu tidak boleh menjawabnya.
Manusia
kini semakin hilang pertimbangan dan tidak menggunakan kewarasan dalam
tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan perhubungan
haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah.
Anak
adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang seharusnya lahir daripada
ikatan perkahwinan sah kerana secara fitrahnya manusia berhajat serta
mengharapkan kurniaan itu. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar
untuk menjaga amanah Allah ini.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya
menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran.”
(Hadis riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).
Anak sepatutnya dibelai
dengan kasih sayang. Perlakuan membiarkan atau mengabaikan anak
menjadikan manusia lebih rendah martabatnya daripada binatang yang tahu
sayangkan anak.
Melihat realiti pembuangan bayi yang
menggerunkan, langkah kerajaan memutuskan kes pembuangan bayi disiasat
sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan
tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat adalah langkah
wajar.
Kes pembuangan bayi dicadangkan diklasifikasikan sebagai
kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh
mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20
tahun.
Sebelum ini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen
31 Akta Kanak-Kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau
penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Hukuman
gantung sampai mati juga bertepatan dengan konsep qisas diperuntukkan
dalam qanun jinayah syar`iyyah, bertujuan menjaga prinsip perundangan
Islam tertakluk di bawahnya lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa,
akal fikiran, keturunan dan harta benda.
Qisas bermaksud memotong
dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan syarak melalui nas
al-Quran dan hadis. Kesalahan diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh
dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan
mata, hidung dan telinga.
Mengikut hukum qisas, seseorang
penjenayah mesti dikenakan hukuman sama seperti dilakukan terhadap
mangsanya. Jika membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.
Firman
Allah bermaksud: “Dan Kami tetapkan atas mereka dalam Kitab Taurat itu,
bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, hidung
dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas
dengan gigi dan luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang
melepaskan hak
membalasnya maka jadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah, ayat 45)
Pembunuhan
dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu pembunuhan sengaja, pembunuhan
separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja. Pembunuhan sengaja ialah
membunuh dengan niat yang dikenakan hukuman qisas atau diat.
Diat
hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak,
qisas bunuh dikenakan. Dalam kes pembuangan bayi, seseorang yang
membuang bayi hingga menyebabkan kematian atau tidak boleh dianggap
sebagai membunuh dengan sengaja.
Pembunuhan separuh sengaja ialah
seperti memukul dengan tongkat atau melempar dengan batu kelikir, tanpa
disangka-sangka terus mati orang itu (tanpa niat membunuhnya).
Pembunuhan
tidak sengaja pula seperti seorang tertembak rakan disangkanya binatang
buruan. Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan
tidak sengaja adalah diat saja.
Bagi hukuman membabitkan penjara
pula, termasuk dalam kategori hukuman yang dikenakan atas kesalahan
takzir, hukuman ditentukan oleh pemerintah berdasarkan kemunasabahan
dengan mengambil kira suasana serta keadaan pesalah.
Langkah
menguatkuasakan hukuman berat wajar untuk membawa pihak bertanggungjawab
membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman
setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan.
Oleh itu,
tiada alasan dan maaf bagi mereka yang masih sanggup melakukan kesalahan
membuang bayi kerana perbuatan mereka tidak akan terlepas dari tindakan
undang-undang. Kesedaran kepada masyarakat saja tidak mencukupi.
Sebaliknya,
masyarakat harus disedarkan perlakuan jenayah membuang bayi ini dengan
mengenakan hukuman berat seperti gantung sampai mati ataupun hukuman
penjara. Ini perlu bagi membendung gejala ini yang semakin berleluasa.
*Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
sumber : berita harian
(di petik dr sebuah blog)
No comments:
Post a Comment